du'a

12/10/2011 10:49:00 PM

Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum dan salam ukhuwah untuk semua :)

Bicara kali ini, dengan niat membuahkan keinsafan. Biarpun sedikit. Biarlah sedikit, asalkan setiap apa yang ku tulis, menjadi ibadah bagiku. Juga ibadah buat dirimu yang tak pernah jemu dengan iqra' :)


Nostalgia, semua perkara macam baru saja berlaku semalam. Tapi mana mungkin. Kerana benda yang paling jauh dengan kita adalah masa lalu. Biar rasa dekat, namun tetap jauh. Hanya tinggal untuk dikenang dan mengenangkan.


...........


Usai menelaah, aku melangkahkan kaki ke asrama. Ruang bilik yang menempatkan lebih kurang 20 puteri terletak betul-betul di tingkat bawah. Hadapannya ada taman. Tempat yang aku sering habiskan waktu selesai menunaikan Subuh setiap hari Ahad. Bagiku, itu sumber ketenanganku. Sumber kekuatanku semula kerana bukan mudah berada di sekolah itu. Sekolah yang ku kira banyak memberikan aku pengajaran. Persediaan untuk ke luar sana.

Di sebalik tembok itu, kesibukan. Ya. Aku berasa lebih senang untuk hidup di sebalik tembok. Mungkin kadang kala masalah meletakkan aku di situasi 'mahu pergi, bebas dari sini'. Tapi, itu semua biasanya sementara. Pasti kerinduan menyuntik hati. Pasti fikiran melayang ke sini.


"Sampai juga." Aku hanya menanti waktu belajar berakhir. Penat seharian bukan kepalang. Nasib baik sekolahku tiada waktu riadah yang diwajibkan. Dulu. Kini ada. Untung mungkin ? Cergasnya? Tidak..

Perkara pertama sekembalinya aku ke kamar Brassi 2, adalah menuju ke lokerku. Tempat aku menyimpan segala macam barang. Di mana lagi mahu letak kalau bukan situ. Kebersihan dan aturan yang rapi sangat dititikberatkan di sekolahku. Itu caranya mereka mengajar kami berdisiplin. Syukurlah.

Dan di situ juga dia. Sebelah sahaja loker besiku. Dan di situ aku melihatnya. Gerak-gerinya, perilakunya. Orang yang sangat disenangi oleh semua. Cemburu? Dengki? Tidak. Kerana dia rakanku. Teman seperjuanganku di sini.

Segala perilakunya, aku kagumi. Ketika melihat cermin, dia berdoa. Menghadap buku, dia berdoa. Keluar masuk bilik air, dia berdoa lagi. Bangun tidurnya, tak pernah lepas dari berdoa kukira. Syukurlah. Dia berusaha mencari redha Allah dalam setiap perbuatannya. Kekhusyukannya jelas terpancar dari air mukanya. Begitu mengharap. Mungkin di situ kekuatannya.

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.” (Al-Fatihah: 5)

Waktu itu, aku lupa. Tidak ku hadam makna 'doa itu senjata orang mukmin'. Bagiku cukuplah berdoa. Namun, aku lupa lagi. Pengharapan itu penting. Sama seperti nak makan dan naaaaaaaaaak sangat makan. Beza kan? Mana satu yang lebih dapat keutamaan? Pastilah yang bersungguh-sungguh bukan?

Hari itu, mungkin aku tidak sedar. Hari ini, mungkin aku harus ambil pengajaran. Tanamkan niat. Doa, usaha, tawakal.


‘Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.’

(Al Baqarah 2:186)


You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Blog Archive