Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini, rentak hatiku bernada keinsafan. Allah menegurku berulang kali hari ini.
Terketuk, mengetuk. Ya, kebenaran itu memang sesuatu yang mengejutkan. Takjub pada kekuasaanNya takkan pernah terhenti. Subhanallah...
Aku bernafas sekali... dua kali... tiga kali... dan ku ulangi berkali-kali. Darahku bagaikan mendapat makanannya. Mindaku bagaikan ligat menyerap tenaga. Kiranya Allah tarik semula nikmat ku bernafas hari ini.. Subhanallah.. Hanya Dia yang Mengetahui.
Ku aturkan langkah satu-persatu. Menuju medan mencari ilmu. Beratnya terasa.. Namun, satu bisikan meyinggah. Kicauan burung, desiran angin. Pada telinga insan hanyalah sekadar bunyi. Lalu, terketuk lagi pintu hati.
Mereka sedang memuji-mujiMu....
Aku tak mengerti tapi aku bagaikan memahami. Rasa sakinah itu tertusuk ke sanubari. Aku tertunduk lagi. Malu mengaku makhluk yang punya aqal namun lupa menyebut namaMu. Malu kerana aku tak mengabdikan hidup semata untukMu. Masih layakkah aku bergelar hambaMu?
Kesabaran itu melupakan. Melupakan sakit di dunia semata ingin ke sana. Melupakan sakitnya ujian semata mahu beroleh syurga. Dan terketuk lagi...
Kiranya Dia tak menjadikan syurga, apakah aku akan beramal? Kiranya Dia tidak menyediakan neraka, apakah akan aku kejar solehah?
Kadang-kadang, kesunyian menyapa tatkala bersendiri. Dan terketuk lagi.. Aku punya Allah bukan? 24/7 dan 365 1/4 hari. Dan selama mana aku berada di bumiNya. Aku tak pernah ditinggalkan keseorangan bukan? Punya masa bersendiri, aku patutnya rasa untung dari rugi. Ini masaku mengadu padaMu. Ini masanya aku berkenalan denganMu. hatta ini masanya aku mencurahkan segala-galaNya padaMu.
Dan terketuk..terketuk...dan terketuk lagi.
Allah itu memang dekat dan sungguh dekat. Bukan Dia yang menjauhi tapi aku yang makin jauh.. Maka, ya Allah....ingatkanlah aku selalu. Tika aku berdiri, duduk, berbaring dan apa jua keadaan sekalipun. Izinkan aku mengenaliMu~
Hamba Allah
0 comments