,

Muhasabah: Mengapa aku tak mampu?

5/02/2011 01:50:00 PM





"Asif ya ukhti, saya masih belum mampu melakukannya"



Assalamualaikum wbt. Salam ukhuwah buat sang pencinta Illahi. Moga dipayungi rahmat dan keredhaan daripada Allah setiap masa.

Detik demi detik. Waktu berlalu meninggalkan kita begitu sahaja. Saban hari, aku bermuhasabah dengan diri ini. Cukupkah apa yang aku lakukan selama ini? Demi kecintaanku pada Allah dan Rasulullah?

Aku merenung kembali. Benar, aku mudah lalai dan alpa. Leka dengan dunia. Aku mahu berubah, tapi mengapa hati begitu lambat menerima hidayah? "Manusia takkan berubah dalam sekelip mata", bisik hati kecilku. Benarkah? Tapi, tak mustahil bukan?

Aku melihat insan sekelilingku. Mereka, mengingatkan aku pada waktu aku yang dulu. Yang tidak mengerti makna sebenar cinta. Cinta agung yang kucari waktu itu palsu belaka. Ya Allah, ampunilah kejahilan hambaMu ini. Aku masih tidak mengerti. Lalu, dengan mengimbas kenangan lalu, mataku menitiskan mutiara jernih satu-persatu.

"Kamu, sejauh mana kamu nak berpegang dengan jalan yang kita pilih ni?". Aku diam, memikir sejenak persoalan temanku sebentar tadi. Hatiku mengeluh berat. Takkanlah hanya nak berubah satu dua bulan? Manusia apakah aku ini? HambaMu ini begitu lemahkah Ya Allah?

Kini, aku punya satu identiti yang baru. Bukan aku yang lama. bukan aku yang jahil. Dalam meneroka makna kehidupan ini pada pandanganku, aku lemparkan penglihatan ku pada alam yang terbentang luas. Langit, bagaikan menyimpan sejuta rahsia yang tak mampu aku tafsirkan. Indahnya alamMu ini ya Rabb, getus hati kecilku.

Aku menatap semula buku di hadapanku. La Tahzan. Mungkinkah aku masih bersedih dengan aku yang dulu? Mungkinkah kerana itu aku tak dapat nak lepaskan segala keresahan yang terbuku? Pelik. Aku merenung diriku. Jahat sangatkah aku yang dulu sampai begini sesal jadinya aku?

Satu penyesalan yang masih terbuku di hati. Aku sudah menapak ke alam realiti. Fantasi ku dahulu aku tinggalkan dengan pandangan sepi. Segala coretan hati, kini tinggal sisa memori yang berbaki. Mungkinkah kerana itu aku masih tidak tenang waima Allah telah menunjukkan jalan yang benar bagiku?

Kebencianku meluap pada diri yang lemah ini. Mengapa aku tegar membiarkan mereka dalam keadaan jahil begitu? Merajukkah aku pada mereka? Insan-insan yang suatu dahulu mencorakkan lembaran hidupku. Hanya kiranya aku masih di sisi mereka..
"Kamu janganlah macam ni. Bukan salah kamu. Ini semua takdir. Kamu bantulah mereka." Aku diam. Sekali lagi. Memikirkan tindakan yang aku patut lakukan. Demi menyelamatkan insan yang aku sayangi. "Awak, doakanlah saya supaya dapat tolong mereka ya", kataku mengakhiri sesi perbualan dengan teman seperjuanganku.


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri"

Surah Ar-Ra’d (ayat 11)


Kata-kata dahulu aku risik dengan segaris luka. Sukar, bukan senang. Ah, kau sahajakah yang mahu selamat di dunia dan akhirat? Hati ini memarahi aku. Aku mengira-ngira. Mungkinkah aku masih ada peluang berjumpa dengan mereka? Setelah perhubungan ini berpaut pada tali ikatan yang kian hambar. Akukah yang salah? Meninggalkan kenangan lalu semata-mata mahu memulakan hidup yang baru? Apakah salah aku membenci diri yang hanya tahu berazam tetapi tidak bisa melakukan?

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"

(Surah As-Saff:ayat 2-3)

Hatiku mula diselubungi ketakutan yang mendalam. Adakah ini bermakna Allah membenci pada apa yang aku lakukan? Aku pernah berjanji untuk membantu insan yang kusayangi. Namun, mungkin kerana terlalu sibuk dengan perihal diri yang tak sudah, lantaran itu meletakkan aku di situasi ini. Sampai ke hari ini, aku membayangkan mereka. Mungkin silap kiranya aku fikir mereka yang akan mencari aku. Perigikah yang mencari timba?

Andai takdir akan menemukan kukembali pada mereka, ku pohon keberanian yang takkan gentar, Ya 'Azim. Jangan kau perlihatkan aku ini lemah pada mereka Ya Karim. Kiranya perjuanganku yang akan berlangsung kembali menjadi titik pertemuan antara kami, aku mohon padaMu agar perteguhkanlah apa yang aku pernah janji. Biarpun hanya janji pada diri, dan sesungguhnya janji itu yang paling sukar untuk aku tepati. Jauhkanlah aku daripada segala rajuk atas perbuatan mereka satu ketika dahulu. Kiranya hambaMu ini akan menitipkan hari-hari yang mendatang pada jalan ini, pertemukanlah aku dengan insan-insan yang mampu membantu aku dalam misi memperjuangkan qudwah hasanah. Moga Islam kan bersinar kembali di bawah lembayung rahmatMu ya Rabbul Izzati.


"Asif ya ukhti, saya akan cuba berusaha lagi".

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Blog Archive